Perkongsian Freedom Flotilla

Mukaddimah

Program bermula pada pukul 5 petang waktu Jordan. Azlan Shah Nabees Khan, pelajar tahun 3 Ekonomi dan Perbankan Islam, University of Yarmouk, telah menjadi pengerusi majlis. Majlis diadakan di sebuah dewan bernama Solat Petra, di Irbid, Jordan. 6 relawan, diiringi oleh Pengarah Malaysian Student Department hadir pada petang yang mulia ini. Pelajar-pelajar Irbid juga hadir dalam angka yang sangat ramai. Bukan itu sahaja, program ini juga mendapat sambutan daripada pelajar-pelajar di daerah luar Irbid seperti Mu’tah, Mafraq dan Amman.

Pengerusi menjemput keenam-enam relawan yang hadir, iaitu Dr Selamat Aliman, Dr Syed Muhammad Halim, Ustaz Jamaluddin Ilyas, Ustaz Haji Hasanuddin, Aswad Ismail, dan Encik Muhammad Nizam Awang.

Buat masa ini, program ini merupakan program yang pertama untuk relawan menceritakan akan pengakaman mereka secara langsung. Pelajar-pelajar Irbid ternyata mendapat penghormatan menjadi yang pertama untuk mendengar terus perkongsian pengalaman daripada mereka.

Timbalan Presiden Persatuan Mahasiswa Malaysia Irbid(PERMAI), Ahmad Amirul Amin bin Azmi telah dijemput untuk memberikan ucapan alu-aluan memandangkan Presiden PERMAI, Muhammad Naqeb bin Sulaiman amat sibuk dengan peperiksaan. Timbalan Presiden PERMAI menyatakan rasa terima kasih kepada relawan yang sudi hadir meluangkan masa. Dalam kesibukan dan kepenatan baru dilepaskan, mereka tetap hadir ke Irbid untuk memberikan perkongsian. Beliau juga menyatakan kekagumannya terhadap komitmen ahli untuk hadir walaupun sekarang adalah musim peperiksaan bagi pelajar di Irbid.

Seterusnya, pengerusi majlis telah menjemput Pengarah Malaysian Student Department(MSD), Ustaz Sulaiman bin Ismail untuk memberikan ucapan sepatah dua kata. Ustaz Sulaiman telah mengalu-alukan kehadiran relawan ke Irbid dan menyatakan bahawa beliau tidak ingin bercakap panjang kerana hendak memberikan laluan kepada perkongsian yang lebih banyak. Beliau berharap agar, perkongsian kali ini akan berjaya menanam semangat perjuangan yang besar dalam hati pelajar-pelajar Jordan. Beliau menyatakan bahawa, di Jordan, program-program kesedaran untuk hal Al-Aqsa hakikatnya telah berjalan secara serius lebih dari dua tahun di Jordan. Pada akhir bicaranya, beliau dengan senang hati membuka peluang dengan menjemput mana-mana NGO yang berusaha dalam isu Palestin, untuk datang ke Jordan dan berkongsi pengalaman gerak kerja, maklumat bersama dengan pelajar-pelajar di sini.

Pengerusi menyatakan bahawa, Saudara Noorazman bin Shamsudin yang dijadualkan untuk menyampaikan perkongsian di Irbid tidak dapat hadir kerana memenuhi jemputan daripada Perdana Menteri Jordan, Malik Abdullah. Tetapi insyaAllah, penyampaian daripada 6 relawan yang ada, pastinya akan memberikan makna yang tetap bukannya kecil.

Perkongsian Dr Selamat Aliman

Perkongsian telah dimulakan oleh Dr Selamat Aliman. Beliau merupakan wakil daripada Jemaah Islah Malaysia(JIM). Beliau memulakan penyampaian dengan memuji Allah dan mengucapkan terima kasih kepada penganjur atas inisiatif mengadakan perkongsian pengalaman bersama mereka. Hakikatnya, beliau menyatakan bahawa dia tidak menjangka akan ada majlis sebegini.

Beliau menyatakan bahawa, JIM hakikatnya telah berusaha semenjak penubuhannya 15 tahun lepas dalam isu Palestin. Usaha memberikan kesedaran kepada masyarakat akan isu itu agar semua sedar untuk bergerak sama-sama membantu. Beliau menyatakan bahawa, hakikatnya isu Palestin sepatutnya menjadi pengetahuan umum.

Beliau juga menyatakan bahawa JIM juga telah berusaha mengumpul sumbangan yang diperolehi daripada ceramah-ceramah dan roadshow dari seluruh negara. Semua itu tidak hanya dilakukan oleh ahli JIM sahaja, tetapi ada juga yang dilakukan dengan masyarakat dan kerjasama dengan NGO lain seperti Haluan dan Aqsa Syarif. Bagi misi Lifeline4Gaza(LL4G) yang lepas, beliau menyatakan bahawa JIM telah membawa sejumlah koleksi sumbangan sebanyak RM400,000. Beliau menyatakan, jumlah itu jika hendak dibandingkan dengan sumbangan daripada HaluanPalestin, nyata ia kuantiti yang sedikit. Bahkan, untuk keperluan Gaza sendiri, jumlah itu bukanlah satu jumlah yang besar. Tetapi nyata beliau, kuantiti bukan masalah. Semangat dan kesungguhan, serta keikhlasan itulah yang kita perlukan bersama dalam perjuangan untuk menegakkan hak orang Palestin yang dikongkong oleh Israel.

Beliau di dalam perkongsiannya, hendak menjelaskan keperluan bagi menyertai misi LL4G. Beliau menceritakan bahawa, LL4G adalah gabungan NGO yang diterajui oleh IHH, satu badan NGO daripada Turki. IHH telah berjaya menggerakkan NGO dari seluruh dunia untuk menyertai misi ke Gaza. Hakikatnya, misi yang berlangsung pada bulan Jun baru ini bukanlah misi yang pertama. Misi ini hakikatnya misi yang ketiga. Konvoi Kapal Laut Flotillah adalah merupakan inisiatif yang keempat. Misi Lifeline yang sebenarnya adalah menggunakan jalan darat dari London, bergerak ke Istanbul dan hendak memasuki Gaza melalui Rafah. Tetapi berlaku sekatan oleh Kerajaan Mesir di sempadan Rafah-Gaza.

Dalam konteks LL4G yang keempat ini, beliau menyatakan bahawa dunia telah melihat apa yang telah berlaku. Ahli kapal diserang, ada yang dibunuh dan ramainya di’culik’ oleh Rejim Zionis yang mencipta taktik Lanun laut. Satu perkara yang penting perlu diberi perhatian adalah, ianya berlaku di luar kawasan pantai Israel. Perkara itu berlaku di atas perairan antarabangsa yang sepatutnya tiada siapa yang berhak untuk menguatkuasakan undang-undang di situ. Sekiranya ada, sepatutnya sekadar mengawal pergerakan sahaja. Bukannya menyerang seperti apa yang berlaku.

Beliau menyatakan bahawa, jika diperhatikan kejadian lanun laut di Somalia dan sebagainya, reaksi untuk kes LL4G lebih pantas. Perbuatan itu ternyata mendapat celaan yang hebat daripada masyarakat antarabangsa. Dalam konteks ini, masalah lanun di Somalia adalah pencabulan hak kebebasan menggunakan jalan laut itu adalah perbuatan individu. Tetapi di dalam kes LL4G, yang melakukannya adalah sebuah negara, yang mempunyai tentera yang terlatih dan senjata yang hebat. Bukannya individu.

Perkongsian Ustaz Hasanuddin

Majlis seterusnya diserahkan kepada Ustaz Haji Hasanuddin. Ustaz Haji Hasanuddin memulakan perkongsian dengan menggelarkan rakan-rakannya(yakni relawan yang lain) sebagai ‘rakan-rakan sepenjara’ dan beliau menyatakan bahawa, tercatat di dalam Al-Quran bahawa Nabi Yusuf AS telah memanggil sahabat sepenjaranya dengan gelaran “Ya Soohibayis Sijn.”

Ustaz Hasanuddin menyatakan bahawa dirinya adalah wakil dari Aqsa Syarif. Beliau menceritakan yang Aqsa Syarif hakikatnya telah lama wujud dalam bentuk pergerakan semnejak zaman beliau belajar di Sweileh, Amman, Jordan lagi. Cuma baru-baru ini sahaja digerakkan secara besar-besaran. Aqsa Syarif dinyatakan telah mempunyai 72 cawangan di seluruh Malaysia.

Ustaz Hasanuddin menyatakan bahawa syuhada itu hidup di sisi Allah SWT. Para Syuhada, selepas mati dan melihat nikmat yang akan diberikan kepadanya, akan tidak sabar-sabar untuk pulang menyampaikan berita gembira akan nikmat-nikmat itu kepada manusia yang masih hidup. Demi memerdekakan Al-Aqsa, semangat yang sama itu jugalah yang menghilangkan perasaan takut dan perasaan sedih. Ustaz Hasanuddin menyatakan bahawa, itulah dia antara perkongsian di atas bot yang mereka dapati sebelum bertolak ke Gaza.

Ustaz Hasanuddin menyatakan bahawa, mereka hakikatnya memang arif dengan perangai Israel Zionis. Allah telah menentukan bahawa, Bani Israel ini telah tercatit untuk mereka ini melakukan kerosakan. Bahkan, dua kali kerosakan itu akan dilakukan dan mereka akan meninggi diri dengan penuh sombong. Ustaz Hasanuddin berkata bahawa, walaupun perkara itu telah arif untuk dirinya, dan dia merasakan telah sangat kenal dengan sikap Bani Israel kerana mempelajarinya daripada Al-Quran, apabila bertemu sendiri dengan Israel dan dilayan secara kasar, maka ‘perkenalan’ itu menjadi lebih mendalam dan berkesan di dalam jiwanya. Ternyata, medan gerak kerja berlainan dari medan ilmu dan berkata-kata.

Ustaz Hasanuddin menjelaskan bahawa, mereka bergabung untuk memecahkan tembok kepungan ke atas saudara-saudara di Gaza yang telah berjalan selama 4 tahun setengah. IHH melihat perkara ini dan berusaha membuat sesuatu untuk membantu. Maka IHH mengumpulkan pelbagai pihak dari seluruh dunia untuk memfokuskan akan hal ini. Ustaz Hasanuddin menyatakan bahawa di atas bot flotilla itu sendiri, ada paderi kristian yang menyertainya. Ahli-ahli LL4G telah membantu Paderi itu yang menghidapi penyakit kencing manis.

Ustaz Hasanuddin berkata bahawa, kejadian Gaza dikepung dan usaha IHH hakikatnya sama dengan apa yang pernah berlaku di zaman Rasulullah SAW. Ketika mana orang-orang Quraisy memulaukan Rasulullah SAW dan seluruh pengikutnya, bahkan Banu Hasyim yang melindunginya, maka wujud beberapa orang yang mempunyai semangat kemanusiaan, walaupun bukan dari orang Islam dan tidak pula dari golongan Banu Hasyim, datang membantu menghentikan pemulauan. Itulah yang telah dilakukan oleh IHH.

IHH telah mengkaji undang-undang dunia untuk memastikannya mampu menyebelahi apa yang hendak dilakukan mereka. Negara Turki yang berasal dari kerajaan sekuler pimpinan Kamal Ataturk, hari ini bangkit menjadi pemimpin yang menggunakan sekularisma sebagai pisau menikam sekularisma itu sendiri. Kebencian terhadap kerajaan sekular, hari ini Allah balas dengan menunjukkan betapa pemimpin turki sendiri berjaya menggunakan sekularisma untuk memecahkan sekularisma dunia itu sendiri. Ini adalah usaha bijak penuh telus yang dilakukan IHH.

Ustaz Hasanuddin menyatan, sebelum mereka bergerak ke Gaza, Israel dengan suka hati teklkah menambah, membesarkan jarak sempadan laut mereka. Memandangkan kapal flotilla tidak merentasi sempadan Israel, mereka telah melakukan tindakan drastik dengan menyerang ahli konvoi di atas laut. Sedangkan yang ada di atas kapal hanyalah pensel untuk kegunaan sekolah anak-anak di Gaza, bantuan makanan, dan batu-batuan serta simen untuk tujuan pembinaan sekolah. Terdapat dua kapal kontena penuh dengan bahan muatan untuk membina semula Gaza.

Ustaz Hasanuddin berkata bahawa, tujuan mereka jelas. Konvoi ini hakikatnya selain dari memberikan bantuan, ia juga berhajat besar untuk menyeret seluruh dunia memandang isu kezaliman yang telah berlaku ke atas Gaza semenjak 1948. Dengan izin Allah, hari ini, Kerajaan Malaysia sendiri telah bergegas menyambut mereka apabila mereka berjaya dilepaskan. Ini tanda keendahan itu telah bertambah. Bagi Ustaz Hasanuddin, beliau menyatakan bahawa matlamat dakwah yang utama dalam LL4G telah tercapai dan berjaya. Yakni untuk menyeret seluruh dunia memerhatikan, dan membincangkan isu Palestin serta melihatnya secara serius. Beliau menyatakan betapa hakikatnya, yang membicarakan hal Palestin ini akan mendapat keberkatan daripada Allah SWT.

Perkongsian Dr Syed Muhammad Halim

Perkongsian seterusnya dilakukan oleh Dr Syed Muhammad Halim dari HALUAN. Beliau pada mulanya tidak tahu hendak bercerita bermula dari mana. Tetapi kemudiannya beliau telah mengajak hadirin untuk melihat suasana cemas yang telah mereka lalui di dalam kapal. Namun suasananya terbalik apabila mereka sampai di Jordan. Suasana Jordan sangat tenang, seakan tidak ada berlakunya apa-apa terhadap negara jiran mereka. Lepasan tawanan pula disambut bagaikan wira negara. Beliau menganggap, itu hakikatnya sebagai satu kegagalan selagi mereka belum dapat mencapai objektif membebaskan bumi Al-Aqsa dan tidak lengkapnya pengabdian diri mereka kepada Allah SWT. Beliau menyatakan, apabila semua itu tercapai, barulah dinamakan kejayaan dalam obkjektif LL4G.

Beliau menceritakan bahawa, LL4G sebelum ini telah berjaya menembusi Rafah melalui jalan darat. Yang berjaya masuk hanya separuh manakala bakinya disekat. Pelbagai kekasaran telah ditunjukkan oleh Kerajaan Mesir dalam hal itu. Sehingga ahli konvoi berpakai bukan itu caranya untuk memecahkan tembok kematian Gaza. Dr Syed Muhammad Halim menceritakan betapa di Gaza, tiada sistem perbankan untuk menghantar wang terus ke sana. Mereka tersekat di dalam tembok kematian walaupun luasnya hanyalah lebih kurang Shah Alam sahaja. Daerah yang cukup kecil, tetapi amat terseksa. Namun kata beliau, rakyat Faza telah menunjukkan ciri-ciri pengabdian kepada Allah yang amat tinggi. Mereka mampu hidup sampai sekarang walau dikepung selama 4 tahun setengah.

Beliau juga berkongsi akan pengisian yang diperolehinya semasa di atas kapal, yakni cerita akan Ashabul Kahfi. Kata beliau, wujud juga Ashabul Ghazza yang perlu diperhatikan. Namun Ahlul Ghazza tiada gua untuk mereka bersembunyi, tiada ruang untuk mereka melarikan diri. Hari-hari mereka dibom dan dibunuh, anak-anak dirampas dan semalam mereka masih dibom lagi. Dan tiada siapa yang memprdulikan mereka. Tiada siapa bersuara untuk mendakwa Israel kerana membunuh penduduk di Gaza.

Dr Syed Muhammad Halim berkongsi bahawa Gaza saban tahun melahirkan 10,000 orang Hafiz Al-Quran. Di Gaza jugalah munculnya halaqah dan usrah yang hidup. Hakikatnya di Gaza, ada 30,000 halaqah yang bergerak setiap minggu secara konsisten. Mereka ini telah berjaya menjadi contoh yang realiti terhadap ummah dunia. Mereka tiada bank, tiada sistem perparitan, tetapi tetap sehingga sekarang mampu hidup tanpa rungutan. Mereka tetap hidup beradab sopan dan berkahlak sesama mereka.

Dr Syed Muhammad Halim merasakan betapa bahawa, mereka hakikatnya datang ke Gaza bukan untuk memberikan bantuan. Bahkan, merekalah yang meminta bantuan daripada Gaza. Hal ini kerana, mereka ingin belajar daripada Gaza akan erti kehidupan yang sebenar, dan mencontohi mereka.

Dalam perkongsiannya, Dr Syed Muhammad Halim berkongsikan akan objektif LL4G. Ada tiga semuanya, digariskan oleh IHH. Sebelum itu, beliau berkongsi akan satu cerita selepas dibawa seorang ulama’ dari Gaza untuk perkongsian semasa kuliah Subuh di Malaysia. Selepas ceramah itu, terdapat dua orang jemaah masjid membincangkan akan hal Gaza dalam keadaan tidak tahu. Bila diterangkan akan keadaan Gaza yang sengsara, mereka berdua menyoal semula – ada ke negara yang demikian? – itu orang yang pergi bersolat subuh. Bagaimana agaknya orang lain yang larut dengan dunia?

Objektif yang digariskan oleh IHH untuk LL4G ada tiga. Iaitu:

1. Mewujudkan Kesedara Masyarakat Dunia akan hal Gaza.

Isteri Bill Clinton, telah menyuruh dikaji semula bantuan secara berjadual di Gaza. Hal ini baru di sebut selepas 4 tahun pengepungan, selepas terjadinya kes serangan Israel ke atas LL4G. Selepas kapal dicuri, ada yang syahid dibunuh, baru Palestin mendapat perhatian. Seakan-akan perkara ini baru berlaku semalam. Inilah rupanya bayaran untuk menyedarkan ummah.

2. Menamatkan Kepungan Terhadap Gaza.

Objektif ini hendak menyatakan kepada masyarakat dunia bahawa mereka boleh menamatkan kepungan yang berlaku di Gaza itu secara legal. Cuma di mana selama ini pemimpin-pemimpin dunia? Di mana selama ini kumpulan hak asasi-kumpulan hak asasi manusia? Tetapi yang tiada kuasa, senjata, tiada daya bercakap, yang itulah yang berkumpul hendak membantu Gaza. Dengan tenaga empat kerat, merempuah perairan yang pastinya akan diganggu Israel. Bila terjadinya kes sebegini, barulah dunia hendak memberikan perhatia.

3. Untuk Menyampaikan Bantuan kepada Gaza.

Sebab itu dilakukan kutipan. Beliau menggucapka terima kasih kepada semua yang memberikan bantuan.

Kata beliau, objektif pertama nampaknya telah berjaya dicapai. Contohnya di Malaysia, pada 5hb 6 2010 akan diadakan perhimpunan oleh pelbagai kaum untuk melaung di atas jalan, “Hancur Israel.” Ini satu perkembangan yang baik.

Berkenaan objektif ke-2, misi-misi yang akan diteruskan sampai kepungan berakhir.

Objektif yang ketiga pula, yakni menyampaikan bantuan, nampaknya belum mampu dicapai sepenuhnya. Apabila barang-barang dirampas oleh Israel, walaupuan ada pihak Israel menyatakan bahawa barang-barang tersebut akan diberikan juga kepada rakyat Gaza, maka samalah seperti barang-barang itu telah hilang kerana Israel tidak boleh dipercayai. Namun syukur, apabila terjadinya perkara sebegini, pintu Rafah telah dibuka oleh Kerajaan Mesir.

Syed Muhammad Halim telah ditugaskan sebagai perawat medical personal di atas dek ketiga di luar untuk memberikan rawatan kepada peserta yang cedera yang dijangka akan dilakukan oleh Zionis. Memang sesungguhnya mereka telah menjangka bahawa mereka akan diserang malam itu. Ada raptai latihan untuk situasi itu pada malam sebelum kejadian.

Selepas selesai latihan, kapten mengarahkan untuk berehat. Di sini ada satu suasana yang menarik. Kapten akan sentiasa mengingatkan bahawa sebelum tidur, siapa yang rasa berdosa, perlulah bertaubat kepada Allah sebelum tidur.Ada yang tidak tidur, meneruskan solat, qiam, berdoa, ada yang membaca Al-Quran dan berkawal.

Selepas solat subuh, lebih kurang pada pukul 4.15 pagi, terdengarlah letupan di belakang mereka. Letupan ini terhasil dari bom gas yang dibaling. Beliau menyatakan betapa suasana ketika itu sangat mengerikan. Tetapi beliau menyatakan bahawa takut langsung tidak wujud dalam jiwa mereka. Mereka telah meletakkan jangkaan akan berlakunya keadaan yang terburuk. Apa itu keadaan terburuk? Itulah dia – diseksa, dikepung, tak diberi makan dan sebagainya – Ada pendengar menjawab ‘Mati Syahid’ tetapi segera beliau menyatakan bahawa syahid bukan keadaan yang terburuk.

Apabila kejadian itu berlaku, belum sempat dia berkemas, dia mendengar bahawa jururawat menyatakan sudah ada kecederaan. Dalam masa yang singkat, sudah ada 4 orang masuk untuk rawatan. Salah seorangnya telah ditembak sniper di dahi dengan otak yang telah terburai. Seluar beliau pada ketika itu berlumuran darah. Dua kali dibasuh, tetapi darah masih tidak hilang. Sekali di dalam penjara, sekali di hotel. Namun darah syuhada tetap kekal di seluarnya.

Dr Syed Muhammad Halim berkongsi bahawa, ada 4 mayat di hadapan mereka. Salah seorangnya seiras dengan kenalannya di atas kapal, sangkanya, kawannya itu telah syahid. Tetapi bila dia melihat keluar, dia terjumpa kawannya. Nyata kawannya bukan yang syahid tadi. Dia menceritakan kepada temannya betapa seirasnya wajah temannya itu dengan yang syahid tadi. Kawanya pantas berkata: Alangkah baiknya kalau dia yang mati itu.

Perkongsian Ustaz Haji Jamaluddin Ilyas.

Perkongsian telah diteruskan oleh Tuan Haji Jamaluddin Ilyas daripada Yayasan Amal. Beliau kelihatan sangat bersemangat, berucap dalam keadaan berdiri.Katanya, beliau berdiri untuk melihat wajah-wajah ‘pengganti’ beliau. Beliau menyatakan bahawa mereka tidak mahu digelar mereka ‘wira’. Dia yang memakai kot menyatakan betapa kot itu baru dibelinya semalam untuk urusan protokol. Beliau menceritakan betapa beliau keluar dari penjara Israel dengan memakai baju banduan, dan beliau mencintai baju tersebut. Azam beliau, baju itu akan disimpan dengan baik, menjadi bahan cerita kepada masyarakat Malaysia nanti.

Beliau menyatakan bahawa Yayasan Amal sudah tiga kali menyertai misi bantuan ke Gaza. Kali pertama semasa di bulan januari. Kemudian sebelum LL4G, beliau telah datang sekali lagi. Kali ketiganya adalah sekwatu LL4G. Beliau diarahkan oleh Wisma Putra untuk pergi memberikan bantuan daripada Kerajaan Malaysia. Kerajaan Malaysia telah dapat mengumpulkan 14.5juta ringgit dan Yayasan amal diberikan tugas bersama Haluan, untuk membuat projek pam air di Gaza. Banyak negeri juga telah memberikan bantuan dan sumbangan, terutama dengan derma ketika ceramah-ceramah Palestin.

Namun malangnya, duit yang beliau pegang telah hilang di atas kapal semasa tentera Israel menyerang.

Beliau menceritakan pengalamannya menaiki Mavi Marmara. Beliau bercanda bahawa wujudnya rakyat Malaysia dan Indonesia menyebabkan ada yang menggelar mereka sebagai Malindo. Ahli konvoi dari Malaysia pada awalnya hanya 11 orang. Kemudian apabila ada sebuah kapal rosak dan ingin dibawa pulang, ahli kapal yang rosak itu telah menaiki Mavi Marmara. Terdapat seorang warga Malaysia bersama mereka. Ini menjadikan bilangan ahli konvoi dari Malaysia sebanyak 12 orang.

Cerita beliau, suasana di atas kapal sangat menyeronokkan dengan pengisian dari pelbagai bahasa. Dari masa ke semasa, ada sahaja lontaran peringatan dan tazkirah yang diberikan bagi menguatkan jiwa dan meningkatkan kefahaman. Di atas kapal, ada banyak masa dengan Al-quran, dan melakukan ibadah. Mereka juga diberikan motivasi secara haraki agar mampu bersedia untuk menerima apa sahaja keadaan yang akan berlaku. Mereka juga diarahkan untuk beriadhah di atas kapal dengan berjongging mengelilingi Mavi Marmara bagi memastikan tubuh sihat dan mudah untuk melakukan kerja.

Kebanyakan komunikasi di atas kapal menggunakan Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris. Tetapi ada juga ahli kapal yang tidak mampu berbicara selain dari bahasa ibunda mereka sendiri. Ustaz Jamaluddin sempat bercanda dengan berkata: “Kalau mereka tak reti Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab, ana sembang jawa aja dengan mereka” dan canda beliau disambut tawa hadirin.

Beliau menceritakan bahawa pada 30hb, jadual awalnya adalah untuk bergerak pada pukul 6 petang. Mereka telah diarahkan untuk menjaga kapal di dek ke-3. Ustaz Jamaluddin telah menjadi pengawal yang menjaga pintu masuk agar sesiapa sahaja yang ingin memasuki kapal akan terpaksa melalui mereka terlebih dahulu. Semua orang arab diberikan mask sebagai persediaan berhadapan ddengan bom gas askar Israel. Namun, untuk ‘geng malindo’ kata Ustaz Jamaluddin, hanya diberikan satu mask sahaja. Yang memakainya adalah Ustaz Jamaluddin.

Ustaz Jamaluddin menceritakan detik permulaan konfrontasi antara mereka dengan tentera Israel. Ceritanya, bermula pada pukul 11-12 malam, mereka sudah mula melihat lampu yang lain dari lain dari kejauhan. Ahli konvoi amat mengenali kapal konvoi yang lain, tetapi cahaya tadi lain dari kapal konvoi. Dari situ sudah diketahui bahawa itu bukan kapal milik mereka. Selepas itu juga, sudah mula kelihatan lampu daripada helikopter dari kejauhan.

Sekitar pukul 3 pagi, kedengaran ahli kapal bertakbir. Ikan lumba-lumba rupanya telah mendekati kapal mereka. Seakan-akan memberikan petanda bahawa sesuatu yang besar akan berlaku tidak lama selepas itu. Ketika masuk waktu subuh, azan telah dilaungkan dengan sekuat mungkin. Apabila tamat sahaja azan, mereka melakukan Solat Subuh. Sempat Ustaz jamaluddin menyatakan bahawa, mereka terlah terdidik agar setiap apa pun yang mereka lakukan, mereka mestilah berada dalam keadaan berwudhu’. Mereka beramal dengan penuh kemas. Hatta Solat Dhuha juga diperingatkan.

Sebaik sahaja mereka tamat melakukan Solat Subuh, telah kedengaran bunyi letupan yang sangat kuat. Namun cerita Ustaz Jamaluddin, Allah tidak memberikan kegentaran pun dalam diri mereka. Mereka tidak panik. Semua menjaga posisi masing-masing sebagaimana yang telah dilatih. Mereka bergerak kemas mempertahankan kapal daripada Israel. Haji Jamaluddin mengutip bom-bom gas dan membaling keluar. Allah telah menghantar pula angin yang kuat, meniup gas pemedih mata dari memberikan kesan kepada ahli kapal. Selepas itu, tentera Israel mula merapati ahli konvvoi dari Malaysia. Ustaz Jamaluddin menceritakan bahawa mereka mempertahankan diri dengan membaling botol air. Atas kuasa Allah, menurut Ustaz Jamaluddin, tentera Israel lari menjauhi mereka.

Tidak berapa lama kemudian, Israel mula menembak dengan peluruh getah. Tetapi ahli kapal tetap bermati-matian mempertahankan kapal. Tetapi semua ahli konvoi telah dipesan dan diperingatkan agar tidak sesekali membunuh.

Selepas beberapa minit, helikopter pertama datang. Menyuluh spotlight dari atas. Dua komando turun. Relawan Turki dengan berani telah menangkap komando yang pertama, membuang senjatanya. Tidak berniat bergaduh. Tetapi apabila komando kedua turun, dia mula menembak dengan peluru hidup. Itulah mulanya syahid yang pertama di atas kapal. Tetapi tetap mereka tidak takut kerana mereka memang telah bersedia untuk syahid.

Tiga orang Malaysia telah ditembak dengan peluru getah. Ustaz Hasanuddin, Halim dari muslimcare dan dirinya sendiri. Akhirnya selepas itu, dalam masa yang sebentar sahaja, ada pengumuman dibuat oleh kapten kapal menyatakan bahawa kapal telah ditawan. Ketika itu grup tentera Israel telah mula memenuhi kapal. Mereka diarahkan untuk duduk diam.

Ustaz Jamaluddin menceritakan bahawa, Dr Arba’ie sempat mencium tiga dari yang gugur pada pagi berdarah itu. Dr Arba’ie telah memberitahu beliau bahawa ada bau kasturi yang harum keluar daripada tubuh mereka yang telah terbunuh itu.

Ustaz Jamaluddin dengan penuh bersemangat bercerita lagi bahawa Dr Syed Muhammad Halim telah meminta tentera israel agar menyelamatkan orang yang cedera parah. Tetapi tentera Israel menyebut : “Ini laut antarabangsa. Tiada tempat untuk dihantar.” Sesungguhnya mereka mengetahui bahawa ini lautan Antarabangsa, tetapi tetap serangan mereka lancarkan juga.

Ustaz Jamaluddin menyatakan kesayuannya kerana antara yang gugur itu adalah yang telah mula dirapatinya semasa di atas kapal sebelum ini.

Perkongsian Aswad Astro Awani

Selepas penceritaan penuh semangat oleh Ustaz Jamaluddin, saudara Aswad dari Astro Awani pula mengambil alih majlis.

Beliau menceritakan bahawa penyertaannya menjadi ahli konvoi adalah kerana dijemput oleh Aqsa Syarif. Peranannya yang utama adalah untuk menyampaikan mesej-mesej penting daripada konvoi Misi Bantuan ke Gaza itu. Hal ini kerana, di Malaysia, saluran Astro di dalamnya mempunyai media-media barat juga yang menyebelahi oleh kuasa barat. Maka peranan wartawan sepertinya, yang berada di tengah medan adalah untuk mengimbangi perkara tersebut agar kebenaran tidak tertanam oleh kebatilan.

Saudara Aswad menyatakan betapa di Malaysia, biasanya yang menjadi rujukan masyarakat adalah media-media barat. Maka Saudara Aswad merasakan betapa pentingnya peranannya dalam memberikan maklumat yang tepat dan sohih, terus langsung daripada ahli konvoi itu sendiri, kepada masyarakat yang mengikuti.

Dalam sepanjang perjalanan konvoi, Saudara Aswad menceritakan bahawa mereka berhadapan dengan pelbagai cabaran untuk menjadikan peranannya tadi satu realiti. Bagi wartawan, beberapa masalah utama adalah antaranya fasa menyampaikan maklumat untuk meredakan kegusaran penonton yang mengikuti perjalanan Konvoi. Kedua, untuk memastikan bahawa mereka sentiasa menyampaikan mesej-mesej yang sebenar, terus langsung dari kapal. Bukan dari khabar angin. Mereka telah ditetapkan untuk berlangsung dua kali sehari. Setiap kali bersiaran, maka Saudara Aswad akan berusaha menyampaikan intipati peristiwa yang berlaku di atas kapal.

Beliau menyatakan bahawa, antara perkara positif dalam hal ini yang boleh menjadi kekuatan adalah orang islam berkongsi isu sentimen Palestin dan apa-apa yang berlaku di sana.

Saudara Aswad juga menyatakan bahawa mereka berhadapan dengan Perang Psikologi daripada pihak-pihak yang ingin memberikan imej buruk kepada perjalanan misi bantuan keamanan ini. Israel dan konco-konconya setiasa akan berusaha melobi media untuk mencucuk dunia agar percara bahawa kapal itu membawa sesuatu yang buruk. Maka tugasnya sebagai wakil media adalah untuk membersihkan tohmahan sedemikian dengan membawa berita-berita yang benar.

Saudara Aswad menceritakan bahawa ahli konvoi yang paling muda di atas kapal adalah berumur 8 bulan. Maka di sini adalah bukti betapa flotilla misi bantuan ke Gaza hanyalah untuk membawa bantuan bukan keganasan.

Pada hari terakhir mereka bersiaran langsung, Saudara Aswad menyatakan bahawa mereka bersedia untuk mendepani segala kemungkinan. Mereka faham bahawa mereka berhadapan dengan manusia berjiwa zionis. Namun Saudara Aswad berkata, walaupun menyatakan telah berusaha untuk bersedia, ternyata bila di alam medan sebenar, persediaan itu nyata tidak cukup mana. Israel nyata lebih kasar, lebih tidak berperi kemanusiaan dari yang dijangka.

Saudara Aswad memberitahu bahawa kerjanyaa adalah untuk membidas semua pandangan media barat akan hal mereka. Beliau sempat menghantar email kepada barisan editor di Awani, menyatakan bahawa kapal mereka telah dikepung. Aswad yang berada di belakang dek sempat melihat kapal israel mendekati mereka.

Keesokan harinya tiada berita daripada Saudara Aswad kerana mereka telah ditawan. Saudara Aswad menceritakan pengalamannya semasa tragedi ngeri itu berlaku. Katanya, semasa peperangan, wartawan bebas bergerak ke mana-mana untuk menangkap semua keadaan yang pastinya tidak akan disiarkan di CNN. CNN hanya akan menunjukkan video-video yang pro kepada Israel. Apabila ahli kapal semuanya telah menyerah, bahan-bahan rakaman seperti sd card, tape kamera, semuanya telah dirampas dan dimusnahkan bagi mengelak mesej-mesej itu disiarkan untuk menekan Israel.

Saudara Aswad sempat menyatakan akan pentingnya agar diwujudkan penyatuan masyarakat sivil. Apa yang berlaku di atas kapal flotilla, penyatuan masyarakat sivil adalah lebih daripada 50 buah negara. Di dalam mana-mana pun peperangan, Israel akan menggunakan PRuntuk mengawal mesej yang disampaikan bagi mengelirukan maklumat yang sebenarnya. Namun apabila wujudnya penyatuan sivil, Israel telah berhadapan lebih dari 60 buah negara yang telah menyiarkan realiti fakta keadaan. Bahkan semua pandangan mempunyai akurasi dan kekonsistenan menunjukkan ianya benar tepat.

Akhirnya Israel tersepit dalam mencari cara untuk membidas dan memusingkan fakta yang benar. Fakta benar daripada 50 buah yang konsisten membuatkan dunia melihat perkara ini sebagai penting dan benar. Tetapi, kekurangan dalam hal ini adalah, kerajaan-kerajaan yang masih dikuasi oleh zionis akan menyebabkan perkara ini tidak mampu menunjukkan hasilnya ke tahapnya yang maksimum. Maka, Saudara Aswad menegaskan bahawa penyatuan masyarakat sivil adalah perkara yang mesti diusahakan.

Wartawan semestinya akan berusaha menyampaikan isu secara tepat dan padat. Mesej yang hendak disampaikan adalah kesedaran betapa kedamaian di Malaysia ini, kadangkala membuatkan kita alpa betapa ada negara yang menderita.

Soal Jawab

Selepas tamat perkongsian daripada Saudara Aswad, sesi soal jawab pula dimulakan.

Soalan 1: 10 ribu tan barang kemanusiaan, ke mana perginya? Difahamkan di dalam berita, Mavi Marmara telah dikosongkan.

Soalan 2: 12 orang relawan, bagaimana perkembangan baki lima orang?

Soalan 3: Setelah gagalnya misi kita kali ini, apakah ada misi akan datang akan berjaya? Atau hanya akan menerima nasib yang sebegini? Atau mungkin akan ubah taktik penghantaran?

Jawapan dijawab oleh Encik Muhammad Nizam daripada Haluan, beliau bertanggungjawab dari segi media. Beliau jua dipertanggungjawabkan untuk menghantar berita ke Akhbar Sinar dan radio IKIM.

Encik Muhammad Nizam menyatakan bahawa barangan yang dibawa 10 ribu tan, dari segi status sebenarnya, tiada maklumat yang sohih berlaku kepada barangan itu. Cumanya, usaha mereka adalah dari pihak IHH sendiri. InsyaAllah, pihak kerajaan Turki akan berusaha mendapatkan semula barang-barang tadi. Hakikatnya, sebelum bergerak sekalipun, Israel telah mengugut untuk merampas barang dan mereka menyatakan akan memberikannya kepada PBB untuk diberikan kepada Gaza.

Tetapi Israel langsung tidak boleh diprcayai berdasarkan apa yang pernah berlaku dahulu. Encik Muhammad Nizam menyatakan bahawa mereka akan ke Istanbul pada 4hb Julai 2010 untuk perbincangan akan situasi barang bantuan.

Khabar akan baki, semuanya sihat. Encik Muhammad Nizam sempat bercanda bahawa ahli konvoi yang paling kritikal pun adalah Haji Jamaluddin kerana ditembak peluru getah. Kumpulan Malaysia hakikatnya dipertanggungjawabkan menjaga tingkat dua. Kawasan itu kurang kritikal meyebabkan semua ralawan malaysia selamat.

Pada Encik Muhammad NIzam, misi LL4G tidak pernah gagal. Mungkin dari segi misi hendak memberikan bantuan barangan mungkin belum tercapai. Tetapi bantuan ke Gaza akan sampai juga dalam bentuk-bentuk yang lain. Hakikatnya, mereka telah mendapat kejayaan yang besar, kerana daripada persitiwa inilah dunia telah tersentak dengan hebatnya. Hakikatnya, kesyahidan itu adalah bayaran untuk kesedaran dunia.

Teruja dengan respon, pelajar-pelajar yang hadir terus menyoal lagi.

Soalan 4: Israel sekarang telah melakukan fokus terhadap isu bahawa jika IHH ini benar membawa keamanan, maka mengapa askarnyadiserang. Sekarang ini dikatakan bahawa, kalau benar aman, kenapa ada penentangan semula? Kedua kenapa tetap menentang semula walaupun sudah diketahui bahawa mereka berhadapan dengan askar komando? Kenapa jika tiada perkara sensitif yang dibawa, mengapa mesti takut diperiksa Israel? Berikut adalah persoalan yang media pro Israel cuba timbulkan. Jadi bagaimana pandangan relawan akan hal ini?

Soalan 5: Kerajaan Turki dikatakan hendak menghantar tentera laut untuk mengiringi konvoi, maka realitinya bagaimana? Dirasakan bahawa gerakan ketenteraan lah yang akan membawa kesan yang sebenarnya.

Soalan 6: Benarkah seperti pendapat Syeikh Raid, apakah benar akan berlaku intifada yang ke-3?

Soalan 7: Berkaitan dengan NGO palestin di Malaysia, dengarnya ada program khas di mana rakyat malaysia mampu memberikan sumbangan kepada anak yatim palestin secara berterusan, ada anak-anak kecil boleh dijadikan anak angkat, mereka boleh dijadikan sebagai keluarga angkat, adakah benar ada? Jika ada tolong dedahkan agar ada bantuan boleh diberikan.

Soalan 8: Berapakah lagi aktivitis yang masih tertinggal di penjara israel? Dan bagaimana layanan berada di dalam penjara?

Soalan 9: apabila mengikuti perkembangan, kita akan mengikuti Al-Jazeera dan BBC serta media lain. Di BBC mereka akan membuat propaganda bagi menghalalkan tinakan Israel. Katanya, tanpa bantuan dari luar pun Gaza telah mampu menghasilkan misil. Maka, apatah lagi apabila ada bantuan, pastinya akan lebih teruk. Maka mereka sebenarnya ingin menyekatnya dari awal. Sebab itu dilakukan pengepungan dengan tembok kematian

Soalan 10: Dikatakan bahawa, mengikut peraturan dunia, blockade adalah dibenarkan di Gaza. Adakah benar?

Soalan 11: Kalau konvoi diserang di dalam kawasan perairan Gaza, bagaimana?

Ustaz Jamal bangkit menjawab. Beliau menyatakan bahawa, senjata yang ada di dalam kapal pun adalah pisau. Pisau itu pula bukannya dipegang oleh ahli konvoi, tetapi hanya diletakkan di dapur untuk memotong sayur. Kini, media hendak memofkuskan betapa pisau sayur itu digunakan untuk menentang askar Israel. Sedangkan, tak masuk akal untuk menentang sniper dan lain-lain senjata hebat dengan pisau pemotong sayur. Dan kalau ditanya kenapa bawa pisau, Ustaz Jamaluddin menjawab dengan canda: “Takkan nak makan sayur dengan buah gitu aja tanpa potong? Nak masak macam mana? Pakai lah akal tu sikit”

Antara bukti lain bahawa relawan tidak berniat menentang adalah, mereka telah merampas senjata komando yang pertama. Maka jika benar henda menentang, maka mereka akan tembak semula. Tetapi senjata itu dibuang, bukan digunakan untuk menyerang askar semula. Maka itu menunjukkan bahawa semua ahli konvoi hanya hendakkan keamanan. Polisi sedemikian itu dibuat, adalah untuk mengumumkan kepada dunia bahawa konvoi itu datang dengan aman, untuk beri bantuan sahaja. Kalau benar hendak perang, maka mereka tidak akan bawa budak kecil umur 8 bulan dan orang tua umur lebih dari 80.

Berkenaan kenyataan BBC, beliau menyatakan bahawa apabila media itu tidak menyokong Islam, maka ia akan berusaha dengan apa cara pun untuk mengutuk Islam. Namun Allah Maha Besar. Al-Jazeera punya media dihadang.Satetlitnya diganggu dari mendapat rakaman secara LIVE semasa tragedi itu berlaku. Tetapi media Turki mereka tidak berjaya tutup kerana mereka terlupa. Di dalam kapal Mavi Marmara, terdapat banyak kamera tersembunyi yang merakamkan semua kejadian itu. Video-video inilah yang akhirnya membuka keadaan sebenar akan apa yang dilakukan oleh Israel.

Berkenaan soalan jika perkara ini berlaku di perairan Gaza pula, Ustaz Jamaluddin menyatakan bahawa, rancangan asal mereka adalah mereka akan berhenti di sempadan. Kalau tak dibenarkan, mereka akan duduk di sempadan perairan Gaza selama mana bekalan makanan bertahan. Sekiranya habis makanan, bantuan makanan akan diatur untuk datang agar mereka boleh terus menunjukkan protes. Mereka hakikatnya tidak tahu berapa bulan hendak berada di atas laut. Tetapi penyusunan Allah itu sangat baik dan cantik. Allah susun mereka diserang, dan ia nampaknya lebih membuka mata dunia dari rancangan asal. Hakikatnya, mereka tidak akan merentasi sempadan Gaza tanpa kebenaran agar tidak ada konsikuensi yang buruk.

Selepas Ustaz Jamaluddin menjawab, Encik Muhammad Nizam pula menjawab berkenaan penglibatan tentera laut Turki. Jawapannya adalah tiada ketenteraan. Kerana IHH tidak membenarkannya. Hatta apabila MT-MT Turki hendak menyertai konvoi ini, IHH tidak membenarkan juga. Hal ini kerana IHH tidak mahu Israel mendakwa ianya adalah konvoi Kerajaan Turki.

Berkenaan intifada ke-3, mereka sempat bersama dengan Syeikh Raid mendengar penyampaiannya yang hebat di atas kapal. Encik Muhammad Nizam memberitahu bahawa jika ada yang berhajat untukmendengarnya, bolehlah ke hidayatullah.com.

Tetapi, sepanjang penyampaian Sheikh Raid itu, tiada pula disebut berkenaan intifada yang ke-3. Yang disebut adalah nakbah yang ke-2. Semasa 1948, Israel berusaha menghapuskan semua penduduk Palestin. Itu nakbah yang pertama. Yang dimaksudkan dengan Nakbah Kedua adalah, kini Israel berusaha menghapuskan generasi pelarian 1948. Maka Syeikh Raid berkata, mungkin akan berlaku nakbah yang ke-2 jika hal itu berlaku.

Dari segi mangsa yang masih tinggal di penjara, Encik Muhammad Nizam menyatakan sebenarnya mereka pun tidak ada berita berkenaannya yang sohih. Mereka pun baru berjaya keluar dari Israel. Mereka sangka, mereka akan duduk di penjara sekurang-kurangnya dua minggu. Mereka dirisaukan dengan ketiadaan kedutaan Malaysia di Israel.

Buat masa ini, komunikasi dengan penganjur utama, yakni IHH juga masih belum mampu dilakukan. Mereka akan ke Istanbul pada 4hb 6 2010 untuk dapatkan maklumat lanjut. Tetapi yang pasti, masih ada 3 orang lagi di hospital Israel. Dan kerajaan Turki bekeras untuk mengambil mereka.

Encik Muhammad Nizam juga memberitahu bahawa terdapat dua orang relawan dari Indonesia adalah cedera parah. Seorang ditembak pada dada, manakala seorang lagi dari tangan dan menembus mengenai bahu.

Selepas itu, Ustaz Hasanuddin pula menjawab bahawa kapal itu membawa misikedamaian. Kalau peperangan, peperangan yang dilakukan hanyalah perang media. Untuk membuka mata dunia. Ini diambil pengajarannya dalam sirah Peristiwa Hudaibiyah yang apabila Rasulullah datang dengan ihram tanpa menghunus senjata.

Ustaz Hasanuddin juga menyatakan betapa di dalam penjara Israel, sangat teruk dan buruk sekali layanannya. Sehingga ada ulama’ telah buta akibat seksaan mereka. Namun, apabila berlaku peristiwa serangan Israel ke atas bantuan keamanan Flotilla, penjara yang diberikan adalah penjara baru, yang selesa, bersama semua peralatan yang baru. Itu semua adalah untuk mengabui mata dunia, menyatakan Israel bukanlah pengganas.

Ustaz Hasanuddin juga menjawab berkenaan hal anak yatim Palestin. Dia berkata bahawa buat masa ini, Aqsa Syarif telah menerima kepercayaan sebagai wakil untuk menguruskan anak yatim di Palestin. Urusan keluarga yag dipenjara oleh Israel, maka ada persatuan dari Wafrah, Lubnan yang telah melantik Aqsa Syarif untuk menguruskannya. Maka, bantuan boleh disalurkan dengan membantu Aqsa Syarif dalam hal tersebut.

Dr Syed Muhammad Halim pula menyambung dengan menyatakan berkenaan pembinaan misil di Gaza.

Beliau berkata bahawa itu satu soalan helah yang dikenakan kepada masyarakat oleh media yang pro Israel. Maka jawapannya adalah, apakah patut hukuman dilaksanakan kepada seluruh rakyat? Jika benar pun hendak menyalahkan Hamas yang berjuang, mengapa tidak hanya pelaku kesalahan sahaja dihukum? Persoalan sekarang, mengapa rakyat biasa juga menjadi mangsa?

Dr Syed Muhammad Halim juga menjawab berkenaan rancangan merentas ke Gaza. Hakikatnya memang tiada plan untuk merentasi sempadan Gaza. Rancangan asalnya adalah, di sempadan Gaza, mereka akan berperang media agar berpuluh-puluh kapal lagi menyertai mereka memberikan tekanan hinggalah mereka dibenarkan memasuki Gaza dengan aman. Hatta kalau terpaksa merentasi perairan Gaza dan ditembak oleh Israel, maka itu adalah kemenangan di pihak Konvoi dan membuktikan kegagalan Israel.

Perkongsian daripada Dr Syed Muhammad Halim lagi

Sempat Dr Syed Muhammad Halim menceritaka keadaan apabila konvoi diserang oleh tentera Israel. Hakikatnya, Mavi Marmara adalah yang terakhir ditawan. Jika benar Israel hendak bertindak, maka sepatutnya amaran diberikan terlebih dahulu. Atau sekadar menarik Kapal Mavi Marmara untuk diberikan hukuman. Tetapi mereka nampaknya telah tergesa-gesa dengan melakukan tindakan menyerang. Itulah susunan Allah yang cantik. Akhirnya kecaman diberikan oleh seluruh dunia. Syahid, dibayar oleh Allah dalam keadaan yang cantik sekali.

Dr Syed Muhammad Halim juga menceritakan hal di penjara. Dia menyatakan bahawa, apabila mereka diberikan penjara baru yang bersih dan selesa, mereka juga diberikan surat perjanjian untuk dibebaskan cepat. Ini baginya menghairankan. Sepatutnya jika benar mereka bersalah, maka mereka sepatunya dibicarakan dan dihukum atau didenda. Tetapi mereka ditawarkan untuk mentandatangani perjanjian untuk dibebaskan awal. Tetapi tiada yang mentandatangani. Ini tanda bahawa Israel telah ditekan oleh Amerika sendiri.

Tindakan mereka tidak dapat diterima oleh seluruh dunia.

Kehangatan program ini membuatkan masanya ditambah lagi walaupun sudah mendekati waktu Maghrib. Program yang dicadangkan berhenti pada pukul 7 malam, telah dipanjangkan untuk berhenti pada pukul 7.30 malam.

Perkongsian kisah ditawan, dan di dalam penjara oleh Ustaz Jamaluddin

Ustaz Jamaluddin bangkit lagi dan kini menceritakan pengalamannya di dalam penjara.

Beliau bermula dengan menceritakan akan keadaan mereka setelah Israel berjaaya menawan kapal. Mereka telah diikat dengan kasar ke belakang. Kesakitannya masih dirasai. Ada anggota tangan yang masih terasa kebas sehingga waktu mereka memberikan penyampaian hari ini. Ustaz Hasanuddin antara yang pertama diikat dan dia telah digelar sebagai teroris. Ustaz Hasanuddin dipijak banyak kali. Ustaz Jamaluddin menceritakan bahawa dia duduk di sebelah orang Jordan. Orang jordan itu bising memprotes tindakan askar Israel. Akhirnya, bersama dengan orang Jordan itu, Ustaz Jamal juga diikat sama dan ditendang. Ustaz Jamaluddin bercanda: “Askar Israel itu tak dapat beza muka jawa ana dengan muka Jordan orang sebelah ana”

Saudara Noorazman disepak juga. Tetapi kata Ustaz Jamaluddin, kesakitan langsung tidak dirasai oleh mereka. Semua itu adalah nikmat Allah SWT.

Apabila ahli kapal telah dikumpulkan semua, kaki mereka dilipat duduk dengan tangan diikat ke belakang. Mereka berrada dalam keadaan sedmikian lebih dari dua jam. Ustaz Jamaluddin mengakui bahawa ianya sangat menyeksakan. Darah tak berjalan. Mereka tidak diberikan apa-apa untuk mengisi perut. Maka mereka berniat untuk berpuasa.

Kemudian mereka dihantar ke dek depan. Mereka dibawa ke kapal. Waktu ini cukup seksa kerana ada yang rasa hendak ke tandas tetapi tidak diendahkan. Ramai yang terkencing di tempat mana mereka diikat. Bab solat, ada yang dibenarkan, ada pula yang tidak dibenarkan. Tetapi semuanya melaksanakan solat dalam apa keadaan sekalipun.

Daripada dek itu, walaupun mereka berpuasa, Ustaz Jamaluddin menyatakan bahawa mereka tetap tidak merasa lapar. Allah telah memberikan mereka kekuatan. Bila diberi makan, mereka makan. Berkongsi air dan biskut dalam mereka kuantitinya ramai. Ini pengajaran yang terbesar, kesatuan yang tinggi.

Apabila mereka telah masuk ke penjara di Israel, masing-masing ada pengalaman tersendiri. Seorang kameraman telah dituduh untuk menembak askar Israel apabila dia menalakan video kameranya ke arah mereka.

Ustaz Jamaluddin menyatakan bahawa dapatlah dia merasa makanan dalam penjara. Mereka diberikan makan nasi, ikan dan sayur. Ada juga yang diberi daging, tetapi tiada yang makan kerana tak tahu siapa yang masak dan bagaimana askar israel memasaknya.

Ustaz Jamaluddin menceritakan bahawa, pada awalnya, dia langsung tidak dapat bersembang dengan rakan sepenjaranya kerana semuanya dari Turki. Akhirnya ada orang dari Macedonia boleh bersembang dalam bahasa inggeris, mereka duduk bersama-sama dan bersembang mengisi masa. Ustaz Jamaluddin menyatakan betapa mereka tidak bersedih walau dalam penjara. Mereka sentiasa ceria. Bahkan ada yang bercanda.

Ketika di dalam penjara, Ustaz Jamalauddin menceritakan bahawa mereka diberikan barang-barang keperluan hidup. Solat dibenarkan. Makan pun dihidang sendiri. Tentera Israel tidak menganggu mereka kerana telah mendapat tekanan dunia.

Kemudian, tidak lama selepas itu, wakil dari Jordan datang untuk membebaskan Malaysia dan Indonesia. Walaupun dibebaskan sangat awal, Ustaz Jamaluddin menyatakan betapa dia tetap rasa sedih kerana terpaksa meninggalkan rakan-rakan lain. Ustaz Jamaluddin juga menyatakan bahawa, duduk bertahun-tahun lagi di dalam penjara pun dia sanggup.

Sangkanya apabila dikeluarkan dari penjara, dia terus bebas. Tetapi rupanya bila keluar, dia telah dimasukkan ke dalam bilik kecil. Duduk 4-5 jam dalam keadaan panas. Sehingga lah mereka menaiki van yang kemudiannya membawa mereka ke sempadan Jordan.

Ustaz Jamaluddin mengakhiri perkongsiannya dengan harapan bahawa, bermula dengan penyekasaan mereka ini, harapnya ummat Islam menjadi lebih kuat. Mereka menyatakan bahawa mereka semua insyaAllah bercadang hendak membuat buku dan keuntungannya akan diberikan kepada Gaza.

Ucapan Ustaz Sulaiman

Seterusnya, majlis diteruskan dengan ucapan daripada Ustaz Sulaiman, Pengarah Malaysian Student Department di Amman, Irbid.

Ustaz Sulaiman menyatakan apa usaha yang telah dilakukan kedutaan malaysia di Jordan dalam isu perlepasan taawanan. Mereka hakikatnya telah berbincang berkenaan apa yang boleh digunakan untuk membantu warga Malaysia yang ditawan. Ia menjadi lebih menarik perhatian kerana dikatakan ada yang mati. Ditolaj oleh risau, maka sebelum mendapat arahan lagi, tindakan yang berkaitan telah diambil. Mencari saluran untuk membantu tawanan agar dibawa ke Jordan.

Hubungan dengan rapat antara Jordan dan Malaysia sedikit sebanyak membantu usaha ini berjalan dengan lancar. Semua itu dilakukan untuk memastikan mereka boleh dibawa balik.

Ustaz Sulaiman juga menyatakan bahawa, pihak kedutaan Malaysia di Jordan dan MSD sentiasa menyokong perjuangan pembebasan Palestin. Mereka memastikan bahawa saluran yang daiambil adalah saluran antarabangsa. Ustaz Sulaiman menyatakan bahawa, kedutaan Malaysia di Jordan telah banyak berusaha. Akhirnya menyebabkan semua urusan pembebasan menjadi pantas dan mudah.

Ketika mendapat berita tawanan hendak dibebaskan, semua pegawai telah menanti di sempadan, hatta Datuk Duta juga menunggu. Menunggu selama sehari lebih kerana disangkanya dibebaskan lebih awal, tetapi agak lewat juga dari jangkaan. Perdana Menteeri juga menunjukkan keprihatinan dengan mengarahkan Menteri Luar Negeri untuk terus datang ke Jordan walaupun belum pulang dari Malaysia untuk memastikan rakyat Malaysia dalam keadaan selamat.

Usaha diplomasi dimainkan oleh pihak Malaysia melalui PBB adalah amat penting dalam membantu Palestin. Melalui saluran ini, sering diusahakan untuk mengembalikan hak rakyat Palestin. Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Jordan dirapatkan lagi agar memudahkan urusan bantuan kepada Palestin.

Sempat juga Ustaz Sulaiman menceritakan bahawa bahawa warga Irbid sangat prihatin akan isu Palestin. Ketika peristiwa penyerangan ke atas Gaza di akhir tahun 2008, bantuan telah diusahakan dan telah diberikan kepada pihak Jordan River. Tetapi bantuan itu telah ditahan oleh Israel dan dibuang begitu sahaja.

Mengikut kata-kata Ustaz Sulaiman, kerajaan Jordan juga hakikatnya sangat perihatin kepada rakyat Palestin. Pembebasan orang Malaysia dan Indonesia adalah arahan Raja Malik Abdullah itu sendiri.

Ketikam ini, Pengerusi Majlis, Azlan Shah menyatakan bahawa pelajar-pelajar Irbid telah berjaya mengumpulkan 5,800JD untuk LL4G dalam program 10JD Dari Irbid untuk Gaza.

Penutup: Penggulungan oleh Dr Syed Muhammad Halim.

Sebagai penamat program, Dr Syed Muhammad Halim melakukan penggulungan.

Beliau menyoal: Apakah tindakan kita? Beliau menyatakan bahawa realiti sebenaryahudi adalah musuh paling keras. Beliau menyatakan bahawa di Jordan, tenang. Tenang dalam erti kata tak kisah, walaupun negara di sebelahnya menderita.

Dr Syed Muhammad Halim menyatakan betapa Allah akan tanya kepada kita nanti apakah tindakan kita? Maka Sejauh mana keprihatinan kita merasai keperitan saudara di Gaza. Bayangkan jika semua yang berlaku ke atas rakyat Gaza itu berlaku ke atas keluarga kita sendiri? Allah akan tanya nanti di akhirat apa kemampuan kita? Allah akan hitung. Kalau benar kita rasa Israel itu musuh kita, maka apa tindakan kita? Allah akan tanya semua itu.

Di manakah tindakan kita? Itu persoalan yang besar, yang peerlu kita perhatikan.

Mengikut Dr Syed Muhammad Halim, dia menyatakan bahawa, jika tiada pengorbanan, tidak mampu bertindak, maka hakikatnya keimanan kita adalah mandul. Kalau kita tak mampu nak tinggal benda-benda yang Allah larang, maka Allah tak benarkan kemenangan. Maka apa daripada jahiliyyah yang kita telah korbankan?

Dr Syed Muhammad Halim menyatakan bahawa kemaksiatan membuatkan Allah menahan kemenangan.

Kejayaan hakikatnya adalah apabila kita mampu membuka mata hati kita dan mampu membuatkan kita bergerak untuk berubah. Bukan sahaja untuk Palestin, tetapi untuk hubungan kita dengan Allah SWT.

Beliau menutup dengan hadith:

“Sesiapa yang tidak emngambil tahu urusan orang mukmin, maka ia bukan dari golongan mereka” Hadith.

Beliau mengakhiri majlis dengan mengucapkan terima kasih kepada semua.

Itulah dia perkongsian dengan relawan LL4G.

Semoga anda semua berjaya mendapat manfaat, dan bergerak ke arah perubahan, melancarkan PERANG NAFAS PANJANG dalam kehidupan kita ke atas jahiliyyah yang wujud baik dalam kehidupan kita mahupun dalam kehidupan orang lain.

Allahuakbar!

sumber > langit illahi

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s